Majlis Santap sempena Puja Usia DPMM



​ Oleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Mohamad Azmi Haji Awang Damit, Mohammad Hasif Matzin

 





BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 16 Februari. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman pagi ini berkenan berangkat ke Majlis Santap Sempena Memperingati Hari Ulang Tahun Puja Usia Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah yang Ke-52 Tahun anjuran JPM, yang berlangsung di Bangunan JPM.


Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah; dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam binti Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien.


Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah dijunjung oleh Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bin Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar, Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara; Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof; dan Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah; beserta isteri masing-masing.


Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah beserta ahli-ahli kerabat diraja yang lain seterusnya dijunjung untuk bergambar ramai sebelum berangkat ke Galeri Pesambah.


Sambutan Hari Ulang Tahun Puja Usia Duli Yang Teramat Mulia dimeriahkan dengan Upacara Memotong Kek dan menerima Kad Sembah Ucapan Kesyukuran Sempena Hari Ulang Tahun Puja Usia daripada JPM serta Pesambah dari 11 agensi yang terdiri daripada agensi-agensi kerajaan, institusi-institusi pendidikan tinggi dan Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam.


Sejurus selepas itu, Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia beserta kerabat diraja yang lain berangkat ke Dewan Bankuet bagi Majlis Santap yang dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Kesyukuran oleh Timbalan Mufti Kerajaan, Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin.


Turut hadir ialah Peguam Negara, Yang Berhormat Datin Seri Paduka Dayang Hajah Nor Hashimah binti Haji Mohammed Taib; dan Ketua Hakim Syar'ie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.


Juga hadir ialah Timbalan-timbalan Menteri, Setiausaha-setiausaha Tetap; Timbalan Setiausaha Tetap, beserta pasangan masing-masing; jemputan-jemputan khas; serta pegawai-pegawai kanan dari JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya.


Sempena Hari Ulang Tahun Puja Usia Duli Yang Teramat Mulia Ke-52 tahun, JPM memohon keberkatan daripada Allah Subhanahu Wata'ala agar mengurniakan kesihatan, umur panjang dan kesejahteraan Kehadapan Majlis Duli Yang Teramat Mulia dan juga kerabat diraja yang lain.











Close